Tuesday, April 7, 2020

Pembelajaran semasa Covid-19



Seperti dijangka, pasti akan ada segelintir orang tidak senang bila guru diberi gaji penuh sepanjang PKP ini. Dan sudah banyak bertebaran cadangan supaya gaji guru dipotong bahkan ada yang meminta guru kembali bekerja kerana bagi mereka ianya tidak adil.Kawan-kawan. Bebanan setiap orang tidak sama. Ada guru dia seorang bekerja, anak ada 5-6 orang dan isteri pula tidak bekerja.

 Ada pula yang potongan pinjaman sahaja melebihi 50%. Berbagai tanggungan hutang mereka galas. Ada yang membuat personal loan untuk hantar mak ayah ke Mekah. Ada yang membuat loan membantu baiki rumah orang tua yang hampir roboh. Ada yang membiayai kos perubatan ibubapa yang sakit setiap bulan. Ada yang menyara anak-anak saudara yang kini anak yatim atau yang melarat dan miskin. Berbagai tanggungan yang kita tidak tahu yang mereka pikul dibahu.

Selama ini, golongan guru tidak pernah berkira wang ringgit, masa dan tenaga yang dicurahkan. Ada guru berhabis ribuan ringgit setahun untuk hias kelas dan sekolah. Ada yang setiap hari mengeluarkan duit poket belanja murid-murid yang tidak berduit di kantin. Bahkan, ada guru bermain kutu hanya untuk membeli LCD untuk mengajar anak murid di sekolah.

Yang beli printer usah ditanya. Hampir semua guru guna duit poket sendiri membeli printer, kertas dan dakwat. Kos bulanan untuk beli dakwat dan kertas kadang mencecah ratusan ringgit sebulan. Ia semua demi sayangkan profesion mereka. Tidak pernah berkira untuk sediakan bahan pembelajaran terbaik demi anak-anak didik tercinta.

Dan ianya berterusan bukan sekali modal sahaja. Sepanjang tahun, sepanjang perkhidmatan entah berapa puluh ribu duit poket sendiri diberi dan diinfakkan untuk murid dan sekolah. Mereka tidak merungut. Mereka tidak mengeluh. Jauh sekali untuk meminta gaji orang lain dipotong untuk menampung pelbagai kos yang selama ini mereka guna duit poket sendiri.

Bahkan, musim PKP ini ramai guru bersedekah dan membantu barisan frontliners sebenarnya. Ramai sahaja memasak di rumah dengan duit poket sendiri, kemudian hantar kepada petugas KKM, askar, polis dan sebagainya. Ada guru-guru mengumpul duit dan berpakat menjahit tudung dan peralatan PPE untuk diberi kepada barisan petugas KKM. Ada pula yang turun padang ziarah murid miskin dari rumah ke rumah menghantar sumbangan barang dapur.

Yang bersedekah, yang mengirim sumbangan melalui tabung NGO dan tabung bencana pun tidak terkira ramainya. Maka apa perlu lagi didengki dengan gaji yang mereka terima? Biarlah mereka menyumbang secara sukarela melalui tabung-tabung yang ada.

Yang meminta pihak kerajaan khususnya KPM 'memaksa' guru kembali bekerja ini pun tidak faham. Setiap hari dalam Telegram atau WhatsApp rasmi sekolah guru-guru merancang dan berkongsi bahan pembelajaran. Mereka tetap meneruskan pengajaran melalui pelbagai sumber yang ada meskipun sambutan dari murid tidak menggalakkan.

Melalui WhatsApp kelas, melalui Telegram, melalui Google Classroom, YouTube dan sebagai mereka tetap berusaha menyampaikan ilmu. Seolahnya dengki benar cikgu-cikgu turut sama diminta duduk di rumah sedangkan mereka tetap bekerja. Tidak senang duduk dia bila lihat guru berada di rumah, maka dia sarankan guru perlu ke sekolah juga.

Ada yang merasakan tidak patut sekadar pembelajaran yang guru buat melalui online. Perlu ke sekolah, perlu juga berkumpul untuk berbincang dan bermesyuarat bagai. Sedangkan berkumpul itu cukup merisikokan semua orang. Sedarkah sekarang ini kita tengah 'berperang' dengan wabak yang sangat bahaya? Musuh halimunan yang boleh meragut nyawa?

Agaknya dia tidak sedar, sudah berpuluh tahun lamanya guru-guru membuat kelas tambahan percuma. Siap belanja semua bahan pembelajaran, fotostat bahan dan sebagainya. Ada yang buat kelas malam, ada yang buat kelas petang. Bahkan ada guru setiap hujung minggu membuka pintu rumah sendiri untuk murid datang belajar secara percuma. Dihidang lagi air dan makanan risau murid lapar dahaga.

Namun semua jasa dan pengorbanan itu dia tidak nampak. Apa yang dia nampak cuma kedengkian yang mendalam melihat para guru berada di rumah tanpa pergi kerja.

Kawan. Aku tidak tahu apa masalah kalian dengan para guru.
Mungkin dulu pernah dirotan dan dipukul hingga menimbulkan kebencian yang mendalam.
Atau mungkin cita-cita untuk menjadi guru tidak tercapai kerana tidak cukup kelayakan.
Atau mungkin juga bekas kekasih yang menolak cinta kau dulu seorang guru agaknya.
Kawan. Berdamailah dengan masa silam. Maafkan guru kamu jika mereka pernah menghukummu secara berlebihan dahulu.

Terimalah takdir jika menjadi guru itu bukan pekerjaanmu.
Atau maafkan saja guru yang menolak cintamu suatu ketika dahulu.
Berdamailah dengan masa silam. Pasti hidupmu menjadi lebih tenang dan hilang segala kebencian itu.
Usah disimpan dendam pada golongan guru kerana tanpa mereka, hari ini kita semua tidak boleh pun menulis dan membaca.
Termasuk komen kedengkian dan kebencian yang ditulis itu, itu pun jasa dari guru muliamu yang penuh sabar mengajar eja baca.


Kita hidup tidak lama. Buangkan perasaan hasad dengki dan cubalah untuk saling memaafi.

Begitulah.

#StayAtHome
#MFS

Kredit pada yang menaipnya.

No comments:

Post a Comment